Cara Penanaman Taugeh

Taugeh adalah tanaman yang paling mudah dan paling cepat bagi anda yang berminat untuk berniaga dalam bidang pertanian dan makanan dalam tempoh 4 hari. Berikut kami kongsikan cara-cara penanaman taugeh.

Mula-mula anda haruslah membuat pemilihan bahan utama iaitu kacang. Kacang yang sering digunakan adalah kacang hitam dan kacang hijau. Kacang hitam adalah lebih popular dan lebih sedap berbanding kacang hijau, namun tidak semua kedai menjual kacang ini. Anda haruslah membeli dari kedai cina atau siam. Manakala kacang hijau pula adalah amat mudah diperolehi dari mana-mana kedai.

Kemudian anda haruslah membuat anggaran berapa banyak taugeh yang perlu anda hasilkan. Contohnya anda memerlukan 10kg taugeh, anda perlu bahagi 10kg tersebut dengan 5, nombor lima ini adalah anggaran berapa kali ganda berat taugeh selepas bercambah dari biji. Contoh kiraan adalah seperti berikut, 10kg / 5 = 2kg, 2kg ini adalah berat biji kacang yang anda perlukan untuk menghasilkan 10kg taugeh.

Selepas itu, basuh kacang dengan bersih, kemudian rendam kacang tersebut dengan hormon santoso. Hormon ini akan menjadikan taugeh anda gemuk dan tidak mempunyai akar yang panjang. Santoso yang diperlukan adalah sebanyak 1.5% dari jumlah berat kacang yang anda gunakan dalam bentuk gram. Contohnya 10kg ditukar kepada gram akan menjadi 10,000 gram, 1.5% dari 10,000 gram adalah 150ml. Jadi anda harus membancuh 150ml santoso dengan air tanpa klorin sehingga tenggelam keseluruhan kacang. Rendam kacang dengan hormon tersebut selama 10jam di tempat gelap.

Selepas 10jam, toskan kacang sehingga kering dan gaulkan bersama tepung siako. Tepung siako digunakan untuk merangupkan taugeh dan mempercepatkan proses percambahan dan pembesaran taugeh. Tepung siako digunakan sebanyak 1% sahaja dengan cara pengiraan yang sama seperti hormon santoso iaitu 1% dari berat kacang dalam gram. Contoh 1% dari 10,000 gram adalah 100 gram. Taburkan tepung siako dan gaul hingga rata, letakkan kacang dalam bakul tapis dan simpan didalam tempat yang gelap seperti tong hitam selama 2 jam.

Selepas 2 jam, beri siraman air yang pertama dan diselangkan siraman air setiap 2 jam dari 6 pagi hingga 12 malam selama 4 hari. Proses ini boleh tambah baik dengan sistem siraman taugeh secara automatik menggunakan timer digital.

Pada hari keempat, basuh taugeh anda dan buang kulit kacang, kemudian tos hingga kering bagi memastikan taugeh tidak busuk dan tahan lama selepas dijual.